03 September 2013

Pemilihan Pemimpin UMNO




Oleh : Tun Dr Mahathir Mohamed

UMNO sudah berusia 67 tahun. Semua pengasas-pengasas UMNO sudah meninggal dunia. Mereka yang menyaksikan penubuhan UMNO dari jauh dan dekat tidak ramai yang masih ada. Pemimpin di peringkat bawah pun tidak berapa kerat yang masih ada dan amat kurang yang masih aktif dalam UMNO. Malah ramai juga antara pemimpin yang ada sekarang yang sudah berumur. Di antara mereka terdapat ramai yang sudah lama berkhidmat sebagai pemimpin di peringkat bawah sampai ke atas. Ahli pun ramai juga yang sudah berumur. Tidak ramai yang muda dan amat berkurangan yang remaja.

Pendek kata UMNO adalah parti politik yang tua. Tidak banyak perubahan kepimpinan terdapat dalam UMNO. Bagi orang muda mereka melihat muka-muka itu sahaja. Dan mereka meluat. Kita sedar akan “generation gap" yang terdapat dalam mana-mana masyarakat. Tentulah dalam UMNO juga terdapat “generation gap" di mana yang tua dan lama tidak memahami yang muda dan pemikiran mereka.


UMNO sudah tua. Hanya satu sahaja cara yang UMNO boleh mengatasi “generation gap". Ia ialah dengan menerima masuk generasi muda dan memberi tempat kepada mereka dalam parti dan kepimpinannya. Saya masih ingat tentangan oleh Wanita apabila cadangan untuk menubuhkan Puteri dibincangkan dalam Majlis Tertinggi (MT) UMNO.

Wanita berpendapat Puteri tidak perlu kerana mana-mana wanita boleh menyertai Wanita UMNO. Tetapi ramai yang berminat untuk menyertai UMNO tidak senang untuk menyertai Wanita UMNO, menyertai kumpulan yang jauh lebih tua daripada mereka dengan kepimpinan yang tidak berubah tahun demi tahun.

Mereka berpendapat mereka tidak akan berpeluang menyuarakan pendapat mereka, jauh sekali daripada menjadi pemimpin. Mereka perlu berada dalam Wanita bertahun-tahun sebelum dapat memain peranan yang bermakna. MT membuat keputusan untuk menubuhkan Puteri dan ramailah yang berminat daripada generasi muda yang menyertai Puteri dan menyumbang kepada kecergasan UMNO.

Bagi pemuda sudah lama masalah ini berada. Tetapi aktivitinya bergantung kepada kepintaran, semangat dan personaliti pemimpin. Di masa-masa lampau, terutama Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) Pemuda ternampak malap dan kurang aktif berkempen. Ini merugikan parti kerana generasi mudalah yang dahulu begitu kuat berkempen untuk kemenangan calon-calon UMNO.

Pemuda sering menuntut supaya lebih ramai daripada mereka menjadi calon dalam pilihan raya bahkan dilantik jadi Menteri. Alasan mereka ialah kerana yang muda dalam parti mestilah diberi tempat dalam parti dan kerajaan kerana sumbangan mereka berkempen untuk parti.

UMNO memang bersetuju. Ramai juga pemuda yang dicalon dan menang menjadi Yang Berhormat. Malangnya apabila mereka tidak lagi muda, sudah dewasa, mereka tidak ingin melepaskan tempat mereka. Maka sukarlah bagi pemuda lain diberi tempat.

Sebenarnya ramai orang muda ingin menyertai Pemuda UMNO sekarang ini pun. Penyertaan mereka tetap akan memberi darah baru kepada parti. Lebih cekap dan layak mereka, terutama dalam berbagai bidang profesional, lebih banyak sumbangan dapat mereka beri kepada parti. Dan sudah tentu UMNO akan terus bermaya jika yang tua dari ahli dan pemimpinnya diganti dengan yang muda.

Tetapi hari ini pandangan muda-mudi Melayu tidak lagi sama seperti pandangan generasi yang membentuk dan menentu matlamat perjuangan UMNO. Kita dapati ada di antara mereka, termasuk yang terpelajar, yang berpendapat perjuangan UMNO untuk bangsa, agama dan negara tidak lagi relevan. Mereka berpendapat perjuangan untuk bangsa Melayu adalah lapuk dan ketinggalan zaman.

Mereka percaya sokongan kerajaan kepada bangsa Melayu memalukan dan tidak adil kepada bangsa lain. Yang aneh ialah mereka sendiri berjaya dalam kehidupan mereka kerana menikmati dasar kerajaan untuk menolong mereka. Setelah mereka mengecapi nikmat ini mereka tidak ingin melihat generasi susulan mendapat nikmat yang sama.

Saya telah berjumpa dan berbincang politik dengan beberapa daripada mereka. Maklumat berkenaan politik amat berkurangan dalam kalangan mereka. Yang telah ke negara-negara Barat telah diserap pemikiran dan nilai-nilai Barat berkenaan konsep persamaan (equality), hak asasi manusia dan konsep keadilan Barat. Tanpa mengambil kira keadaan di negara sendiri, terutama berkenaan ketidakseimbangan kedudukan antara kaum, mereka luahkan sahaja konsep-konsep Barat yang mengagumi mereka.

Kalau mereka ini menyertai UMNO, besar kemungkinan UMNO akan bertukar menjadi parti yang tidak lagi berjuang untuk bangsa, agama dan tanah air, tetapi parti liberal ala Barat. Sebaliknya orang Melayu belum boleh liberal dengan sedikit yang ada pada mereka. Oleh itu jika kita ingin terima mereka, mereka perlu diberitahu akan kedudukan orang Melayu yang sebenar.

Bagi mereka kursus politik Melayu dan perjuangan UMNO mestilah diadakan. Mereka perlu diberitahu akan ketidakseimbangan kedudukan antara kaum supaya perjuangan untuk mengurangkan keadaan ini dan matlamat untuk bangsa, agama dan negara dapat diteruskan. Walaubagaimanapun kemasukan mereka adalah penting jika UMNO ingin membersihkan imej UMNO.

Hari ini ramai yang berpendapat UMNO banyak terlibat dengan rasuah. Bahkan pemimpin UMNO di semua peringkat dianggap menyertai UMNO bukan kerana bangsa, agama dan negara tetapi ingin memperkayakan diri. Hanya dengan memberi kepimpinan UMNO kepada orang yang muda dan belum tercemar barulah pembersihan UMNO boleh menjadi kenyataan, dan diterima oleh masyarakat.

Saya dengar desakan-desakan supaya dikekalkan semua ahli MT yang sedia ada. Jika ini dilakukan maka sukar bagi orang ramai mempercayai yang UMNO ingin membersihkan parti dan menukar imejnya. Mereka akan kekal dengan perasaan jijik mereka terhadap UMNO.

Walaupun saya sokong cadangan supaya tidak ada pertandingan untuk jawatan Presiden dan Timbalan Presiden demi mengekalkan perpaduan dalam parti, tetapi untuk semua jawatan lain, pertandingan perlu diadakan secara tersusun dan teratur. Sesiapa yang mengguna duit perlu dihadapkan ke hadapan Jawatankuasa Disiplin. Hukuman yang dijatuhkan dan pelaksanaannya mestilah sama bagi kesalahan yang sama. Tidak seharusnya pilih kasih diperlihat dalam menjalankan hukuman seperti yang berlaku dahulu.

Sesiapa sahaja dalam parti, Wanita, Pemuda dan Puteri patut diterima sebagai calon. Hanya yang muflis atau terlibat dengan jenayah sahaja yang tidak boleh dibenar bertanding. Hanya jika ternampak ramai muka baru dan muda barulah UMNO akan dipercayai orang ramai, sudah berubah dan sudah dibersihkan.

Manusia tidak pernah bersih dari kecacatan. Saya yakin walau apa pun sistem yang diguna, walau apa pun hasil yang dihasilkan, akan ada sahaja kecacatan. Untuk ini kepimpinan yang menghubungi yang lama dengan yang baru (dan muda) mestilah bijak dan cekap untuk menangani kepincangan yang akan berlaku.

Saya berdoa dan merayu kepada pemimpin yang sedia ada untuk menerima perubahan dan rela undur. Janganlah kita melebihi tempoh yang diberi kepada kita. Utamakan UMNO dan ketepikan kepentingan dan cita-cita besar diri sendiri.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...