Pengurangan subsidi
minyak yang diumumkan semalam mengundang reaksi ‘panas’ di kalangan rakyat dari semua golongan. Sebahagian dari
mereka kelihatannya cuba bersikap rasional dan menerima kenaikan ini sebagai
sesuatu yang perlu, dan harus diterima walaupun sedikit kecewa.
Namun, secara umumnya
rata-rata rakyat Malaysia masih bersyukur kerana minyak di negara ini masih
berada di kadar termurah berbanding jiran-jiran terdekatnya. Setakat ini, harga
minyak di Thailand adalah RM4.71, Filipina RM5.85, Singapura RM5.48, Indonesia
RM3.08 dan Malaysia RM2.10. Pengurangan subsidi minyak sebenarnya perlu dilihat
dalam perspektif yang lebih luas dan jauh.
Perlu diingatkan
bahawa Malaysia kini dalam ‘perlumbaan’ untuk menjadi negara berpendapatan tinggi
sedangkan ekonomi dunia hari ini berada di dalam keadaan tidak menentu. Untuk
itu, Malaysia perlu bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan dan kesan
langsung dan tidak langsung dari perkembangan politik global.
Defisit Malaysia yang
mencecah RM14 billion dan juga hutang negara yang mencatatkan kadar 53%
berbanding GDP telah memaksa kerajaan lebih aktif dalam usaha merancakkan
ekonomi. Salah satunya adalah dengan meningkatkan usaha untuk menarik pelaburan
asing.
Untuk itu, persepsi
asing terhadap Malaysia amatlah penting. Malangnya, berdasarkan laporan
penyelidikan yang dilakukan oleh Fitch Ratings, Malaysia telah mencatatkan
pandangan negatif dalam beberapa bulan selepas PRU-13. Laporan yang negatif
mampu mempengaruhi persepsi pelabur untuk mengeluarkan pelaburan sedia ada dari
negara ini sekali gus menjejaskan peluang negara untuk mendapat pelaburan baru.
Sekiranya ini
berlaku, ia pastinya merupakan bencana kepada negara. Justeru, bagi memastikan
Malaysia terus berdaya saing, kita perlu memulihkan persepsi pelabur dengan
meningkatkan kedudukan dalam Fitch Ratings. Ini boleh dicapai dalam kadar
segera dengan mengurangkan subsidi untuk menunjukkan kesungguhan kerajaan
mengurangkan defisit.
Tindakan ini bukan
sahaja mampu memulihkan persepsi asing pada kadar segera, tetapi juga dijangka
membantu memberangsangkan ekonomi dalam jangka panjang, sekali gus membolehkan
kerajaan meningkatkan jumlah BR1M kepada rakyat berpendapatan rendah.
Selain peningkatan
kadar BR1M, RM1.1 billion yang dapat dijimatkan melalui pengurangan subsidi,
akan digunakan untuk projek-projek pembangunan di luar bandar, termasuk Sabah
dan Sarawak.
Dari situ, kita turut
menjangkakan peningkatan pendapatan di kalangan penduduk luar bandar. Beberapa program lain turut dicadangkan,
antaranya, skim insurans untuk golongan berpendapatan rendah.
Secara dasarnya,
langkah mengurangkan subsidi ini dilihat sebagai persediaan awal ke arah
sebarang kemungkinan dalam menghadapi cabaran global yang semakin genting dan
tidak terjangka. Sehubungan dengan itu, rakyat Malaysia perlu dipersiapkan
dengan sikap dan mentaliti yang sewajarnya bagi meningkatkan daya saing di
peringkat individu.
‘Mentaliti subsidi’
perlu dikikis secara perlahan-lahan, namun tidak terlalu perlahan. Oleh yang demikian, masyarakat perlu turut
memainkan peranan untuk sama-sama menyertai ‘perlumbaan’ ke arah negara
berpendapatan tinggi yang kita idam-idamkan.
No comments:
Post a Comment