Hasrat sepasang
kekasih untuk melampiaskan gelora nafsu serakah mereka di dalam bilik mandi
sebuah masjid di Kota Bharu kelmarin tidak kesampaian apabila dicekup oleh
penduduk kampung. Perbuatan terkutuk pasangan belasan tahun tersebut untuk
memadu asmara berjaya dikesan oleh jemaah sebuah masjid di Kampung Pasir Tumboh
setelah menyedari terdapat motosikal diletakkan di pekarangan kawasan tersebut.
Seorang penduduk yang
dikenali dengan panggilan Pok Cik Ya berusia 60-an memberitahu, kira-kira jam
4.20 petang dia melihat terdapat seorang remaja perempuan yang berbaju kurung
memasuki bilik mandi bersebelahan dengan tandas wanita.
Menurutnya, sejurus
itu terdapat seorang lelaki memasuki bilik sama dan dia terus memaklumkan
kepada jemaah masjid yang bersiap sedia untuk mengerjakan solat Asar berhubung
kelakuan mencurigakan itu.
“Selepas beberapa
minit berada di dalam bilik mandi, sekumpulan jemaah bertindak mengetuk pintu
tetapi pasangan terbabit enggan membukanya.
“Beberapa minit
kemudian pasangan terbabit membuka pintu tersebut dan remaja lelaki tadi keluar
lalu melarikan diri, dengan meninggalkan teman wanitanya yang kemudiannya
menyusul keluar dengan berpakaian lengkap,” katanya ketika ditemui di masjid
tersebut semalam.
Bagaimanapun katanya,
lelaki terbabit yang cuba melarikan diri dari masjid itu berjaya ditahan semula
oleh penduduk kampung kira-kira 200 meter dari masjid tersebut.
”Dengan kerjasama
penduduk kampung dan jemaah masjid berkenaan, kita menahan pasangan terbabit
dan pada masa sama kita menghubungi keluarga masing-masing untuk tindakan
lanjut,” katanya.
Dia berkata, sejurus
kemudian, keluarga pasangan terbabit datang ke tempat kejadian untuk berbincang
sebelum membawa pulang ke rumah masing-masing.
Katanya, pasangan
terbabit dipercayai bukan penduduk di kawasan berkenaan tetapi perbuatan keji
itu mengejut jemaah masjid dan penduduk kampung apabila terserempak mereka
melakukan perbuatan maksiat di dalam bilik mandi yang terletak di dalam kawasan
masjid.
Menurutnya, kelakuan
pasangan terbabit telah mengaibkan orang Islam kerana menggunakan kawasan
masjid melakukan maksiat dan remaja sekarang sudah tidak mempunyai perasaan
malu serta takut untuk melakukan perbuatan terkutuk di masjid.
No comments:
Post a Comment