Usaha dua lelaki
meloloskan diri daripada kepungan orang ramai selepas dipercayai mencuri kabel
telekom di Kampung Bukit Rambutan, dekat Telaga Nibong tidak berhasil, apabila
berjaya ditangkap kira-kira sembilan jam kemudian. Sebelum itu, beberapa
penduduk Kampung Kayu Kelat yang berkawal di kawasan tersebut, terserempak
dengan kedua-dua lelaki dalam keadaan mencurigakan berhampiran sebuah kereta
jenis Mazda, kira-kira jam 5 pagi kelmarin.
Penduduk percaya
mereka adalah pencuri kabel telefon sebelum cuba menahan suspek, bagaimanapun
selepas menyedari kehadiran orang ramai mereka melarikan diri dengan kenderaan
tersebut. Menurut sumber, penduduk bertindak mengejar suspek, bagaimanapun
selepas sampai di Kampung Kayu Kelat, kira-kira dua kilometer dari tempat
kejadian, suspek keluar dari kereta kerana dipercayai kenderaan itu tidak dapat
bergerak laju akibat berat muatan kabel yang dicuri.
“Kedua-dua suspek
meninggalkan kereta mereka lalu melarikan diri ke kawasan semak di tengah sawah
berhampiran. Penduduk yang keluar beramai-ramai telah mengepung kawasan belukar
tersebut, namun pada jam 7 pagi, dimaklumkan ada orang terserempak dengan
suspek berkenaan berjalan kaki di Kampung Gong Duek, Hulu Besut beberapa
kilometer dari situ,” katanya.
Katanya lagi,
menyedari mereka dikesan penduduk, suspek menyembunyikan diri dalam semak
berhampiran kawasan tanah perkuburan Islam Kampung Gong Duek, sebelum dilihat
penduduk kampung pada jam 12.30 tengahari melalui sawah menghala ke arah
Kampung Alor Keladi.
Sejurus selepas itu,
penduduk bertindak mengepung kawasan berkenaan dan berjaya memberkas suspek
pada jam 1.30 petang di Kampung Alor Keladi sebelum diserahkan kepada polis
pada jam 2 petang. Dalam kejadian itu, salah seorang penduduk cedera ringan
akibat bergesel dengan kereta suspek ketika cuba menangkap mereka.
Menurut sumber lagi,
sebelum ini, suspek berkenaan dipercayai telah empat kali menjalankan aktiviti
mencuri kabel telefon di lokasi sama dan kali terakhir pada Ramadan lalu. Malah,
mereka juga dikatakan pernah mengugut seorang warga emas dengan parang kerana
menegur perbuatan mereka ketika terserempak semasa pulang solat Subuh, pada
malam sama.
Sementara itu, Ketua
Polis Daerah Besut, Superintendan Kamaruddin Mohd Zakaria ketika dihubungi
mengesahkan kejadian dan tangkapan tersebut. Menurutnya, dua suspek tersebut
berusia 24 dan 35 tahun dari Kampung Batu 13, Hulu Besut dan kedua-dua positif
dadah selain mempunyai rekod lampau berkaitan penyalahgunaan dadah.
“Polis turut menemui
kabel telefon dianggarkan sepanjang 250 meter di dalam kereta suspek dipercayai
dicuri di tempat kejadian,” katanya.
No comments:
Post a Comment