03 September 2013

Jangan Guna Media Serang Peribadi Lawan – Lembaga Disiplin




Semua ahli UMNO ditegah sama sekali menggunakan saluran media demi menjatuhkan reputasi pesaing mereka yang bakal bertanding dalam pemilihan parti tidak lama lagi. Pengerusi Lembaga Disiplin UMNO, Tan Sri Tengku Ahmad Rithauddeen Tengku Ismail berkata, perbuatan itu jelas bertentangan dengan Perkara 5.3 Tataetika Ahli UMNO sekali gus boleh dikenakan tindakan di bawah Fasal 20.9 Perlembagaan parti jika didapati bersalah oleh Tribunal Lembaga Disiplin.

"Ramai ahli UMNO yang ingin bertanding di peringkat cawangan, bahagian dan Majlis Tertinggi telah memulakan kempen mereka secara tidak sihat selain membuat pengumuman melalui media dalam menyerang peribadi pesaing mereka bagi merebut jawatan yang sama.


"Tindakan ahli-ahli UMNO yang membelakangkan peraturan-peraturan pemilihan demi kepentingan peribadi adalah amat dikesali kerana ini menyebabkan persaingan tidak sihat dan menimbulkan persepsi negatif pada pandangan ahli-ahli di peringkat akar umbi," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, peranan pemantau dalam lembaga berkenaan akan diambil kira dalam memastikan elemen politik wang dapat dibanteras selaras dengan pindaan Perlembagaan parti yang dibuat tahun 2009. Katanya, gejala tersebut yang dikesan telah menular dalam parti boleh menghancurkan organisasi sekiranya tidak dibendung.

"Lembaga Disiplin akan bertindak tegas terhadap laporan-laporan yang mempunyai merit dan bukti kukuh yang menunjukkan terdapatnya perlanggaran terhadap mana-mana peraturan-peraturan pemilihan dalam pemilihan UMNO tahun ini.

"Semua ahli UMNO yang ingin bertanding dalam mana-mana jawatan dinasihatkan agar dapat memahami dan mematuhi peraturan supaya pemilihan kali ini dapat dijalankan dalam suasana harmoni dan mampu mengekalkan semangat persaudaraan yang kukuh," katanya.
Post a Comment
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...