03 September 2013

Lagi Percubaan DAP Untuk Tipu Pemilihan CEC




Pendaftar Pertubuhan (ROS) hari ini membidas DAP kerana tidak pernah memaklumkan apa-apa maklumat atau perkembangan mengenai pemilihan semula Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) parti itu yang dilaporkan mengambil tempat pada 29 September ini.

Ketua Pengarahnya, Datuk Abdul Rahman Othman berkata, daripada memberi maklumat rasmi kepada ROS, DAP sebaliknya dilihat lebih gemar membuat pengumuman melalui media massa.


''Sampai hari ini saya tak terima apa-apa daripada DAP, apa benda dia nak buat saya pun tak tahu. DAP cakap (buat pemilihan) pada September, saya pun hanya tahu melalui media massa.

''Sekarang dia cakap cakap sahaja, saya pun tak tahu apa yang DAP mahu lakukan sebenarnya," katanya kepada pemberita selepas menyerahkan dokumen pendaftaran kepada 20 parti politik baharu di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas pertanyaan pemberita mengenai perkembangan terkini pemilihan semula CEC DAP. Dalam pada itu, Abdul Rahman turut mempersoalkan kenapa DAP belum menyerahkan 500 surat pengesahan yang dikatakan ditandatangani oleh wakil yang tidak hadir dalam pemilihan CEC akhir tahun lalu, untuk mengesahkan bahawa mereka telah menerima notis tersebut tetapi tidak menghadirinya atas sebab peribadi.

''Mana senarai, mana surat itu? Pada 20 Ogos lalu, dia cakap mahu serahkan, hari ini sudah 2 September," katanya mengulas kenyataan Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke bahawa surat berkenaan akan diserah oleh DAP walaupun tidak diminta ROS.

Dalam perkembangan lain, Abdul Rahman berkata, permohonan untuk mendaftarkan Pakatan Rakyat sebagai parti politik tidak dapat diproses kerana parti pembangkang tidak mengemas kini maklumat yang sudah diubah.

''Mereka tidak maklumkan kepada ROS walaupun maklumat Jawatankuasa Bertindak Sementara (Protem) mereka telah ditukar," katanya.
Post a Comment
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...