01 September 2013

Melaka Pantau Dan Banteras Fahaman Sesat Syiah




Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim) giat melakukan pemantauan berterusan bagi membanteras kegiatan berkaitan ajaran Syiah supaya tidak berlaku di negeri itu.

Ketua Menteri, Datuk Idris Haron berkata, tindakan secara tepat sukar dilaksanakan rentetan mereka yang tidak bertanggungjawab bijak menyebarkan fahaman berkenaan.


“Tindakan undang-undang kita tidak dapat diambil secara tepat kecuali kita ada laporan berbentuk audio, video yang memantau pergerakan mengenal pasti siapa mereka.

“Bagaimanapun satu enakmen sudah dikeluarkan bahawa Syiah ditolak dan dianggap ingkar serta sesat di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan sumbangan kepada bakal-bakal haji peringkat Parlimen Tangga Batu di Masjid Al-Faizin, Bukit Rambai, semalam.

Idris berkata, risalah yang menyebarkan fahaman itu jelas mengelirukan orang ramai dan rujukan kepada pihak yang arif seperti ke pejabat agama perlu dilakukan bagi mengelak terjebak dengan ajaran berkenaan. Sementara itu, seramai 640 orang di Melaka akan menunaikan haji pada tahun ini.
“Umat Islam di negara ini dapat merayakan Aidilfitri dan sambutan kemerdekaan dengan aman. Malah dapat menunaikan haji dengan selesa.

“Inilah hasil kesyukuran yang dinikmati selama ini,” katanya.
Post a Comment
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...