Presiden Perkasa, Datuk
Ibrahim Ali sekali lagi mengulangi kenyataannya agar Ketua Wira Perkasa, Irwan
Fahmi, meminta maaf kepada Dato’ Seri Najib Razak kerana mendesak beliau agar
meletak jawatan. Desakan Irwan Fahmi dibuat melalui blognya yang kemudiannya
tersebar luas di laman-laman sosial.
Alasan Irwan ialah
Dato’ Seri Najib telah gagal menjaga kepentingan bumiputera sepanjang
pemerintahannya. Selaku Perdana Mneteri, Najib juga dituduh terlalu menjaga kepentingan
minoriti dan terdesak meraih undi mereka.
Kenyataan Irwan
menimbulkan persoalan di kalangan rakyat berkenaan apa yang sedang berlaku
dalam kerajaan. Apatah lagi dengan desas-desus yang tersebar berkenaan
pertemuan Perkasa dengan Dato’ Seri Najib yang dikatakan ‘panas’ di mana Perkasa dikatakan mempersoalkan perkara yang sama,
iaitu meminta Dato’ Seri Najib berundur.
Kenyataan rasmi Datuk
Ibrahim Ali mengenai pertemuan itu menyatakan bahawa pihaknya ada menyuarakan
kebimbangan orang-orang Melayu dan meminta Dato’ Seri Najib membuat beberapa
perubahan. Namun, Perkasa tidak pernah mendesak beliau berundur.
Dato’ Ibrahim Ali
juga dikatakan terkejut dengan kenyataan Irwan Fahmi serta menafikan bahawa ia
adalah pendirian Perkasa. Beliau turut meminta agar Irwan Fahmi meminta maaf
kepada Perdana Menteri atas kenyataannya.
Malangnya, sehingga
kini Ketua Wira Perkasa itu terus berdiam diri dan enggan meminta maaf. Oleh
yang demikian, Datuk Ibrahim Ali sekali lagi mendesak beliau agar berbuat
demikian dalam kenyataannya di TV3 hari ini.
Perkembangan ini
tentulah tidak sihat dalam konteks perpaduan Melayu kerana kedua-dua Perkasa
dan UMNO merupakan pertubuhan yang berpaksikan ‘Melayu’. Kita tidak mahu melihat kedua-dua pertubuhan ini
berselisih faham terutamanya dalam keadaan di mana perpaduan Melayu telah
retak.
Justeru, Datuk
Ibrahim Ali digesa agar memecat sahaja Irwan Fahmi sekiranya Ketua Wira Perkasa
itu masih berpendirian menentang Perdana Menteri. Perlu difahami bahawa
penentangan terhadap Perdana Menteri merupakan penentangan terhadap UMNO. Selain
itu, keengganan beliau meminta maaf sepertimana arahan Dato’ Ibrahim Ali pula
dilihat sebagai sengaja mencabar Presiden.
Tanpa mengambil
tindakan terhadap Irwan Fahmi, pendirian sebenar Perkasa kini diragui. Kemusykilan timbul tentang apakah Perkasa
sebenarnya bersetuju dengan beliau tetapi sengaja mengambil langkah yang ‘politically correct’ dalam
menanganinya? Apakah Perkasa sengaja membiarkan Irwan Fahmi menjadi pendesak
tetapi di masa yang sama memastikan hubungan yang mesra dengan UMNO?
No comments:
Post a Comment