Pada saat suhu
industri seni tempatan sedang dilanda kisah kontroversi kes penceraian pelakon
Rita Rudaini dan pemain bola sepak Aidil Zafuan, kemelut rumah tangga pelakon
jelita Erra Fazira tidak terlepas menjadi buruan. Seringkali menolak untuk
memberikan jawapan konkrit mahu pun menyimpulkan status rumah tangganya bersama
Engku Emran Zainal Abidin, Erra sebelum ini sekadar memberikan kenyataan secara
umum dan menyifatkan rumah tangga mereka masih stabil.
Kesempatan bertemu
dengan bekas Ratu Cantik Malaysia 1992 itu ketika pelancaran wangian terbaharu
Estee Lauder di Hotel Ritz Carlton Kuala Lumpur, Kosmo! mendapatkan kenyataan
lanjut mengenai status terkini mahligai Erra.
Ini kerana, sehingga
kini, kestabilan rumah tangga mereka terus menjadi tanda-tanya. Erra, saat
ditemui tenang menjawab soalan daripada pihak media, namun pintanya, jangan
terlalu dikorek kisah rumah tangganya kerana saat tiba masanya, dia sendiri
yang akan memberitahu kepada umum.
Ikuti temu bual
tersebut.
Bagaimanakah
kehidupan peribadi Erra sekarang?
Saya sentiasa menyibukkan
diri dengan bekerja, tapi tanggungjawab terhadap anak dan sebagai ibu masih
berjalan seperti biasa. Saya juga akan pastikan jadual sebagai artis dan kepada
keluarga seimbang sebaik mungkin.
Umum
sudah tahu kisah rumah tangga anda dan Engku Emran yang didakwa sedang bergolak
masih belum diperjelaskan dengan lebih mendalam. Sekuat manakah ikatan
perkahwinan kalian hingga hari ini?
Kuat tidak kuat, kita
sudah ada anak bersama-sama dan ikatan itu tetap ada disebabkan dia merupakan
bapa kepada anak saya. Dia juga seorang bapa yang baik.
Komen
anda mengenai status rumah tangga anda terkini?
Sudah beberapa tahun
saya mendengar gosip rumah tangga saya yang goyah dan saya melalui perkara ini
dengan tenang dan normal. Sama ada betul atau tidak, saya ketepikan
cerita-cerita buruk mengenai saya sebab sudah terlalu penat. Saya mahu lalui
kehidupan dengan tenang dan aman.
Tidakkah
semakin lama dipendam, semakin banyak asakan daripada orang sekeliling yang
mahu mengetahui mengenai kesahihan cerita itu. Sampai bilakah anda akan simpan
penjelasan itu?
Saya rasa saya
berhutang penjelasan, tapi saya ada sebab kenapa saya berbuat demikian. Sehingga
hari ini saya masih bertahan walaupun suatu masa nanti saya terpaksa leraikan
juga. Tidak baik juga untuk saya menggantung orang (masyarakat) tidak bertali
dan saya pun ada sebab kenapa tidak bersuara.
No comments:
Post a Comment