Ketua Dewan Ulama
Pas, Datuk Harun Taib hari ini menyokong penuh gesaan Mursyidul Am Pas, Datuk
Nik Abdul Aziz Nik Mat agar jawatan Timbalan Presiden parti itu disandang oleh
golongan ulama. Harun berkata, ini kerana, pemilihan ulama sebagai pemimpin
nombor dua tertinggi parti itu amat bertepatan dengan matlamat serta dasar Pas
sebagai sebuah parti yang memperjuangkan Islam sejak dulu dan selamanya.
Malah, jelas beliau,
dalam Islam itu sendiri telah memberikan gambaran bahawa kebanyakan segala apa
yang dilakukan dan usaha menegakkan syiar Islam adalah lebih ditunjangi peranan
para ulama, termasuklah dalam Pas. Jelas beliau, begitu juga bagi Pas, semua
pihak mengetahui kebanyakan perkara yang dilakukan dalam parti terutama bagi mengerak
dan menentukan hala tuju perjuangan Islam Pas adalah hasil komitmen golongan
ulama.
"Saya sokong
kenyataan beliau (Nik Abdul Aziz), sebab untuk memimpin parti Pas yang
memperjuangkan dasar serta matlamat perjuangan Islam, pemimpin kalangan ulama
tidak diketepikan, sebaliknya sangat diperlukan.
"Sama juga kalau
kita nak ambil pemandu, dia (pemandu) kena mahir selok-belok memandu dan tahu
ikut jalan mana sekalipun. Kalau di jalan berselekoh, dia pergi pandu terus
macam di jalan lurus, susah lah kita," katanya.
Semalam, Nik Abdul
Aziz menyatakan harapannya agar perwakilan Pas memilih ulama menjadi Timbalan
Presiden parti itu dalam pemilihan kepimpinan baharu yang akan berlangsung pada
Muktamar Tahunan Pas ke-59 bermula 22 November ini.
Katanya, berlainan
dengan jawatan Presiden yang masih memerlukan kepada ilmu dan pengalaman luas
Datuk Seri Abdul Hadi Awang, secara peribadi, beliau juga mahu orang ulama
menduduki kerusi Timbalan Presiden.
Harun seterusnya
berkata, sekiranya jawatan nombor dua itu diisi oleh ulama, ia juga sangat
relevan dengan kepimpinan tertinggi Pas yang diterajui Abdul Hadi selaku
Presiden parti.
No comments:
Post a Comment