15 August 2013

Kerajaan Perpaduan : Anwar Ibrahim Gila Talak




Seperti orang yang gila talak, Ketua Umum PKR, Anwar Ibrahim baru-baru ini mengeluarkan kenyataan kononnya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pernah menghubunginya dan mencadangkan agar diwujudkan kerajaan perpaduan antara Umno dan PKR.
Dia yang berkata ketika program wawancara dengan laman web Asia Sentinel menjelaskan, kononnya terpaksa menolak cadangan tersebut ekoran serangan bertali-arus oleh akhbar Utusan Malaysia ke atas masyarakat Cina dan India. Walaupun ada yang terkejut dengan kenyataan tersebut, namun di masa yang sama ramai juga yang merasakan kenyataan tersebut hanya merupakan ‘drama terbaru’ lakonan Raja Sandiwara Negara itu.

Ini kerana ramai telah mula sedar dan mengakui akan kehebatan Anwar dalam berlakon pelbagai watak sebagai usaha untuk meraih simpati dan sokongan rakyat. Di tambah dengan sokongan padu yang diberikan oleh orang Melayu kepada kerajaan pimpinan Najib melalui pilihan raya umum yang lalu, Anwar tahu dia perlu melakukan sesuatu.

Walaupun sokongan padu masyarakat Cina dilihat cenderung untuk bersama pakatan pembangkang, namun tanpa sokongan masyarakat Melayu secara keseluruhan cita-cita Anwar untuk menjadi Perdana Menteri adalah merupakan sesuatu yang mustahil.

Oleh itu dia perlu mewujudkan satu gerakan atau persepsi agar orang Melayu khususnya ahli-ahli Umno menolak kepimpinan Najib. Selari dengan pemilihan Umno yang akan diadakan tidak lama lagi, Anwar merasakan kenyataan tersebut boleh menyebabkan ahli dan penyokong parti marah kepada Najib disebabkan ‘pengkhianatan’ yang dilakukan itu.

Ini kerana tindakan Anwar yang saban hari mencerca, menghina dan memfitnah Umno adalah suatu dosa yang tidak akan dapat dimaafkan sampai bila-bila. Oleh itu sekiranya Najib selaku Presiden parti yang ingin mewujudkan usaha pendamaian gagal mendapat sokongan majoriti ahli dan pemimpin, sudah pasti akan wujud gerakan untuk menjatuhkan beliau khususnya di kalangan penyokong Tun Dr Mahathir.

Namun di sebalik kenyataan yang dikeluarkan oleh Anwar itu wujud beberapa persoalan yang mengelirukan. Pertama mengapakah isu ini dibangkitkan ketika mesyuarat cawangan-cawangan Umno bermula? Sekiranya benar Anwar menolak cadangan Najib untuk mewujudkan kerajaan perpaduan, mengapakah isu ini tidak dibangkitkan ketika kempen pilihan raya umum yang lalu atau setidak-tidaknya ketika kempen pilihan raya kecil Kuala Besut?

Dan yang paling utama ialah, majoriti rakyat mengetahui impian dan cita-cita Anwar adalah untuk menjadi Perdana Menteri, oleh itu masakan Najib tidak mengetahui akan hakikat tersebut sehingga sanggup menghina Anwar dengan menawarkan pelan damai?

Jawapannya mudah, isu kerajaan perpaduan adalah merupakan skrip terbaru lakonan Anwar. Ini kerana Anwar sedar keputusan pilihan raya umum ke-13 telah berjaya mewujudkan keresahan di kalangan umat Islam dan Melayu di negara ini betapa pentingnya semangat perpaduan. Tambah menakutkan apabila wujud sebilangan kecil masyarakat bukan Islam yang begitu ekstrem memperlihatkan sikap anti Islam dan Melayu.

Selain kata-kata yang menghina, mereka juga dilihat sudah semakin berani menghina Islam dengan memaparkan pelbagai gambar, komentar, rakaman video yang secara jelas berniat untuk membakar hati dan semangat rakyat.

Atas sebab itu, sudah ada ‘bisik-bisik’ di kalangan pengikut dan penyokong Pas yang menggesa pimpinan parti itu untuk menimbangkan secara serius pelan damai untuk bersama dengan Umno. Tindakan PKR yang jelas begitu liberal dilihat langsung tidak membantu gerakan Islam malah telah menyebabkan parti itu mula kehilangan sokongan.

Menyedari akan hakikat itu, Anwar sedar dia melakukan sesuatu. Sekiranya gagal untuk menarik sokongan masyarakat Melayu menyokong pakatan pembangkang, maka sokongan mereka terhadap Umno perlu dipecahkan. Hanya dengan cara itu dia akan kembali relevan dalam mengejar impiannya bergelar Perdana Menteri.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...