Kewujudan parti pembangkang dalam sebuah negara
demokrasi adalah untuk mengimbangi kuasa kerajaan, iaitu bagi memastikan
kerajaan berada di landasan yang betul serta tidak menyalahgunakan kuasa. Ertinya,
peranan pembangkang ialah untuk bersama-sama memastikan kemakmuran, kestabilan,
keamanan, kemajuan dan keselamatan negara.
Justeru, sekiranya kerajaan terkhilaf di
mana-mana, pembangkang wajib menegur dan membangkang. Tetapi, di masa yang
sama, adalah lebih berkesan jika pembangkang turut melontarkan idea bernas bagi
membetulkan kekhilafan kerajaan itu bagi memastikan yang terbaik untuk negara.
Namun, malang sekali bagi Malaysia kerana
mempunyai pembangkang yang tidak ingin kepada apa yang terbaik untuk negara
sebaliknya berfungsi sebagai pemusnah negara.
Sejak sekian lama, pembangkang di Malaysia
sibuk mencari jalan untuk mengkucar-kacirkan keadaan dalam negara bagi
menyusahkan kerajaan dengan harapan dapat mencetuskan huru-hara. Pembangkang
juga sering menekan kerajaan agar membuat keputusan yang salah bagi
membangkitkan kemarahan rakyat.
Inilah yang berlaku apabila pembangkang
menjadi juara pendesak agar Akta-akta pencegahan dihapuskan. Begitu juga
apabila pembangkang berjuang bermati-matian agar Akta-akta yang mengawal
keharmonian dihapuskan. Akibatnya,
negara kini berhadapan dengan kes-kes jenayah yang meningkat dan provokasi
agama yang keterlaluan. Saban hari ada saja yang mati ditembak dan ada saja isu
baru menghina Islam.
Apabila keadaan menjadi begitu buruk,
pembangkang mengambil sikap selamba seolah-olah mereka tidak terlibat dengan
apa yang terjadi. Malah, pembangkang juga berusaha menuding jari ke arah lain
bagi mengelak rakyat mengungkit apa yang mereka telah lakukan.
Hakikatnya, kerajaan tidak mungkin akan
menghapuskan akta-akta itu jika tidak didesak oleh pembangkang. Dalam kata
lain, pembangkang bertanggungjawab penuh terhadap penghapusan segala Akta-akta
yang selama ini memastikan keselamatan dan keamanan negara.
Pembangkang pastinya telah menjangkakan
peningkatan jenayah berlaku sekiranya akta-akta tersebut dihapuskan, namun
mereka tetap mendesaknya demi politik.
Hari ini, pembangkang telah berjaya mencapai matlamat politik mereka
dengan harga yang mahal iaitu dalam bentuk nyawa rakyat dan juga reputasi
negara.
Malangnya, pembangkang tidak pula punya idea
bernas untuk memperbaiki kerosakan yang mereka mulakan. Pembangkang membiarkan
sahaja kerajaan dicemuh akibat gagal mengawal keadaan kerana pembangkang
sendiri sebenarnya tidak punya rancangan ‘back-up’ untuk kemusnahan yang mereka
rancangkan.
Dalam kata lain, pembangkang telah mencipta
racun dan melepaskannya ke udara tanpa terlebih dahulu mencipta penawarnya.
Justeru, jika pembangkang mengharapkan rakyat
marah kepada kerajaan dan memilih pembangkang sebagai pemerintah maka mereka
telah tersilap.
Rakyat tahu bahawa apa yang berlaku adalah
berpunca dari desakan pembangkang dan rakyat tahu betapa pembangkang sanggup
menggadaikan nyawa rakyat demi mendapat sedikit keuntungan politik. Oleh itu
tidak mungkin sama sekali rakyat akan memilih pembangkang berbanding kerajaan
sedia ada.
Apapun yang berlaku, rakyat masih bersama
kerajaan dan menaruh harapan agar sesuatu dilakukan segera bagi mengawal
keadaan.
No comments:
Post a Comment