Petugas keselamatan
dan kecemasan bangunan di Sydney menjadi gempar berikutan ketibaan durian di
Harbour City kerana menyangka tempat itu mengalami kebocoran saluran gas
apabila terhidu bau yang pelik. Mujurlah petugas pertanian Malaysia berjaya
meyakinkan mereka bahawa bau yang mereka terhidu itu sebenarnya adalah bau
durian, bukan gas.
Pengarah pertanian di
Konsulat Malaysia Muhammad Rudy Khairudin Mohd Nor berkata 'bau gas' yang
mereka terhidu itu berlaku apabila petugas pertanian Malaysia membuka 10 pek
durian 'Musang King' dan 'D24' pada 2 petang untuk urusan ujian
makmal di pejabat CBD mereka di Sydney.
"Bau durian yang
kuat itu memasuki sistem pengalih udara dan merebak ke pejabat lain yang
terletak di sebelah pejabat kami di tingkat 15 Bangunan Market St.
"Petugas di
pejabat bersebelahan, semuanya orang kulit putih, menjadi gempar kerana
menyangka berlaku kebocoran saluran gas...mereka menghubungi unit kecemasan.
Dalam hanya beberapa minit, semua penghuni di tingkat itu dipindahkan,"
katanya.
Muhammad Rudy berkata
petugas keselamatan dan kecemasan bergegas ke tingkat 15 untuk menyiasat dan
setelah agak berputus asa, mereka menghubungi pihak konsulat untuk mendapatkan
jawapannya.
"Kami
menjelaskan bahawa bau itu sebenarnya bau durian. Para pegawai berkenaan
terperanjat dan hairan kerana baunya seperti gas. Bagaimanapun, mereka yakin
dengan penjelasan yang diberi setelah kami tunjukkan kepada mereka buah
berkenaan dan baunya," kata beliau.
Muhammad Rudy berkata
tiga pegawai teknikal Australia kemudian terhidu bau yang sama tiga jam
kemudian: "Mereka membuat pemeriksaan di seluruh pejabat untuk memastikan
ia bukan berpunca daripada kebocoran saluran gas."
Untuk mengelak lebih
banyak salah faham, pihak konsulat memindahkan durian berkenaan dan urusan
ujian makmal ke Malaysia Hall Australia.
"Tiada siapa
yang bersungut. Malah, baunya disukai para pelajar Malaysia...yang mungkin
begitu rindu dengan bau itu sejak sekian lama. Pernahkah sesiapa menyangka
mengeksport durian ke Australia merupakan urusan yang begitu mencabar?,"
katanya.
Sementara itu,
lepasan sekolah La Salle Malaysia di Melbourne merancang untuk menganjurkan
Pesta Durian Lasallian November ini, mungkin di kawasan pembangunan eksklusif
SP Setia di St Kilda Road.
Walaupun durian amat
popular di Sydney, namun buah istimewa ini belum mendapat perhatian di
Melbourne, yang mempunyai 70,000 rakyat Malaysia selain 9,000 pelajar.
No comments:
Post a Comment