Oleh : Khairol Anuar Masuan
Tentunya menjadi kebimbangan di hati semua ibu bapa yang menghantar anak
mereka ke Mesir. Apatah lagi perkembangan terbaru menunjukkan bumi Mesir
semakin tidak menentu. Bekalan makanan di sana terutamanya di sekitar Kaherah
dilaporkan sudah mula berkurangan.
Segala urusan harian yang dianggap mudah dahulunya semakin menjadi sukar.
Namun begitu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, telah memberikan
arahan agar pelajar-pelajar kita di Mesir dibawa pulang. Ini mengulangi Ops
Piramid yang pernah dilaksanakan pada tahun 2011, apabila kekacauan yang hampir
sama berlaku.
Sudah tentu kesiapsiagaan negara untuk membawa pulang pelajar-pelajar ini
yang kira-kira 3,300 orang ini memberikan kelegaan kepada ibu bapa di tanah
air. Ini sekali gus menunjukkan bahawa pihak kerajaan amat prihatin dengan
hal-hal kebajikan rakyat terutama para pelajar. Sudah pasti kerajaan memandang
pelajar-pelajar ini sebagai modal insan negara dimasa akan datang.
Lebih-lebih lagi kerajaan kita amat proaktif untuk menjaga kebajikan pelajar-pelajar
ini. Malahan biaya untuk membawa pulang pelajar kita di Mesir bukan murah dan
mudah. Pelbagai keperluan logistik perlu disediakan awal untuk memudah urusan
kepulangan.
Bagi pelajar-pelajar ini pula mereka pastinya mendapat satu pengalaman yang
benar-benar memberi kefahaman betapa keamanan adalah penting bagi kemaslahatan
dan kelangsungan sesebuah negara.
Berpunca daripada kelangsungan inilah yang menjana kemajuan negara dari
segi fizikal dan rohani. Dari sudut pandangan psikologi pula, worldview pelajar
ini diharap akan menjadi lebih matang. Ini kerana isu keselamatan dan keamanan
negara bukan hanya terletak kepada bahu pihak kerajaan semata-mata. Ia
sebenarnya terletak kepada semua pihak.
Penulis teringat kata-kata ustaz dan ustazah sewaktu di sekolah dahulu;
mereka ini semasa belajar di Mesir pernah mengalami suasana perang dengan
Israel. Mereka juga pernah mengalami insiden 13 Mei 1969. Mereka semua berkata, adalah lebih baik aman
daripada kacau-bilau dan jangan terlalu berharap untuk mengubah sesuatu dengan
drastik kerana kita belum tentu berdaya untuk mengalaminya.
Pengalaman ini diharap mematangkan kita semua bahawa harga sebuah keamanan
itu sangat mahal, malah kita tidak patut mengabaikannya. Negara kita lebih
dikenali bukan kerana kejayaan pembangunan dengan pencakar langit dan pelbagai
lagi, tetapi kita dikenali kerana kita cintakan keamanan.
No comments:
Post a Comment