Walaupun sering
diasak berulang kali bekas Ketua Wanita Johor, Datuk Halimah Mohd Sadique tetap
dengan pendiriannya untuk tidak memberikan sebarang jawapan berhubung jawatan
yang ingin ditandingi nya dalam pemilihan parti Oktober ini.
Beliau yang ditemui
oleh pihak media semalam ketika program rumah terbuka sempena Aidilfitri
berkata: "Kita tunggu dan lihat, (kerana) masa masih panjang".
Selain daripada itu, Ahli Parlimen Tenggara itu turut menegaskan apa yang
penting sekarang ini ialah usaha memperkukuhkan parti bukan soal siapa
bertanding.
"Kita perlu tentukan parti belajar daripada pilihan raya umum (PRU) yang lepas dan siap sedia untuk hadapi PRU14," katanya.
Halimah yang juga
merupakan Timbalan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan
Tempatan sebelum ini antara nama yang disebut-sebut akan bertanding untuk
jawatan Ketua Wanita Umno Malaysia.
Kelantangan dalam
menyuarakan isu-isu berkenaan wanita dan kepetahan dalam berhujah sepanjang
berkhidmat sebagai ahli dewan rakyat dalam penggal yang lalu, turut dilihat
sebagai faktor penyumbang.
Tambahan pula,
hubungan rapat beliau dengan mantan Ketua Wanita, Tan Sri Rafidah Aziz
dikatakan bakal memberikan kelebihan tambahan untuknya dalam berdepan dengan
saingan tersebut.
Halimah bukanlah
merupakan nama yang asing dalam politik Wanita Umno, selain pernah menjawat
jawatan Exco kerajaan negeri Johor selama 3 penggal, beliau turut pernah
memegang jawatan Exco Pergerakan Wanita Malaysia dari tahun 2000 hingga 2008.
Selain daripada itu beliau turut terkenal dengan sikap yang ramah dan rendah
diri di kalangan ahli Wanita.
Wanita Umno sebelum
ini, diselubungi dengan pelbagai kontroversi sehingga ada yang merasakan ia
telah menyebabkan pergerakan yang menjadi ‘tulang belakang’ parti itu hilang
arah dalam hala tujunya.
Bermula dari isu
Pusat Fidlot Nasional (NFC) yang merosakkan imej Ketua Pergerakan, Datuk Seri
Shahrizat Abdul Jalil ia kemudiannya disusuli pula tindakan bekas Naib
Ketuanya, Datuk Kamelia Ibrahim yang mengumumkan bertanding sebagai calon bebas
dalam pilihan raya umum yang lalu sehingga menyebabkan beliau dipecat dari
Umno.
Sebagai sebuah
pergerakan yang sering menjadi mimpi ngeri kepada parti lawan pada setiap kali
menjelang pilihan raya. Pergerakan yang mempunyai kira-kira 1.3 juta ahli
daripada 3.4 juta ahli UMNO itu sudah pasti mempunyai peranannya yang
tersendiri dalam memperjuangkan agenda parti.
Oleh yang demikian
sesiapa sahaja yang diberi kepercayaan mengetuai pergerakan itu pasti akan
sentiasa menjadi perhatian umum. Ini kerana bukan calang-calang tokoh yang akan
dipilih untuk memimpin pergerakan tersebut.
Shahrizat sebelum ini
menerima tentangan ekoran kenyataan terbuka bekas Ketua Puteri Umno, Azalina
Othman yang menyatakan hasratnya untuk bertanding. Namun majoriti percaya
kelebihan tetap akan berpihak kepada Shahrizat yang memiliki segalanya untuk
mengekalkan jawatan tersebut. Selain sudah berkeluarga, bersikapnya yang ramah
dan disenangi semua peringkat umur dilihat mampu menjadi faktor kemenangannya
nanti.
Tambahan pula,
beberapa pemimpin Wanita baik di peringkat negeri dan bahagian turut dikatakan
telah menyatakan sokongan mereka terhadap kepimpinan Shahrizat sebagai ketua
pergerakan itu.
Ini kerana rata-rata
di kalangan mereka mengatakan sesiapa sahaja yang ingin menawarkan diri untuk
bertanding jawatan di dalam pergerakan Wanita Umno perlu masuk dan memahami
wanita terlebih dahulu.
"Saya pernah
berada di bawah tiga ketua Wanita. Nak jadi ketua Wanita bukan senang. Saya
harap sesiapa yang tawar diri... yang baharu, yang belum pun jadi ahli Wanita
masuk dulu jadi Exco. Lepas tu kenal Wanita seluruh Malaysia barulah tawar diri
untuk (jawatan Ketua Wanita).
"Perlu masuk
untuk memahami mengenai Wanita. Sekarang ini adalah masa untuk menstabilkan
kedudukan. Takkan nak gantikan semua. Buat orientation dulu... jadi Exco
dulu, next term bila dah ready bolehlah," menurut Ketua Umno
Kedah, Datuk Dr Maznah Abdul Hamid.
Walau apa pun, ada yang melihat pengumuman Azalina untuk bertanding itu sekadar mahu 'mengusik' ahli Wanita. Beliau dikatakan hanya mahu 'membuka jalan' supaya pemimpin-pemimpin wanita lain termasuk di peringkat negeri bertanding. Beliau hanya mahu menyuarakan pandangan sesetengah pihak yang merasakan harus ada pertandingan dalam Wanita UMNO.
Kesimpulannya sesiapa
pun yang menang dalam pemilihan nanti adalah merupakan pemimpin yang diterima
akar umbi. Jika Shahrizat berjaya mempertahankan jawatannya, membuktikan di
sebalik pelbagai tuduhan dilemparkan terhadapnya, beliau tetap diterima ahli Wanita
UMNO dan masih mendapat kepercayaan untuk memimpin pergerakan itu.
No comments:
Post a Comment