Sikap hipokrit pemimpin pembangkang terserlah
dalam isu pengisytiharan aset dan harta dengan memberikan bermacam-macam
alasan. Isu bermula apabila Exco Kerajaan Negeri Pulau Pinang mengisytiharkan
nilai aset masing-masing kononnya untuk menunjukkan dasar ketelusan dan
keterbukaan yang diamalkan oleh kerajaan negeri.
Apa yang berlaku setelah itu agak
memeranjatkan kerana berlakunya adegan bertikam lidah antara pemimpin tertinggi
parti pembangkang mengenai isu tersebut. Seharusnya jika isu itu telah
dipersetujui dan menjadi sebahagian daripada dasar pakatan pembangkang sudah
tentu polemik ini tidaj berbangkit.
Jelas pertengkaran yang berlalu antara
Pengerusi Kebangsaan Dap, Karpal Singh dan Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim
menunjukkan pembangkang tidak sepakat dalam isu dan kemungkinan besar tidak
akan mencapai persetujuan umum.
Setelah kerajaan negeri Pulau Pinang mengorak
langkah tersebut, Karpal merasakan tindakan yang sama juga perlu di sambut oleh
dua buah lagi negeri yang di bawah pentadbiran pembangkang iaitu Selangor dan
Kelantan.
Karpal mahu anggota-anggota Exco dan
ahli-ahli Dewan Undangan Negeri Dap, Pas dan PKR di negeri-negeri tersebut juga
mengisytiharkan harta masing-masing. Ini membuat Anwar berang yang memberi
pelbagai alasan supaya perkara ini dielakkan.
Anwar memberi alasan bahawa mereka yang
memegang jawatan awam sahaja yang patut mengisytiharkan harta dan aset mereka
dan selain mereka dikecualikan. Antara lain beliau mahu perkara ini
dibincangkan pada peringkat majlis pimpinan pembangkang.
Ini agak ganjil kerana sejak tahun 2009,
pembangkang sudah bersetuju untuk bersikap terbuka dalam pentadbiran mereka
apatah lagi isu ini telah ditekankan lagi dalam Buku Jingga yang menggariskan
dasar dan program mereka.
Sikap berdolak-dalih pembangkang sudah
menjadi bukti kepada rakyat bahawa mereka sebenarnya tidak serius untuk
mempraktikkan apa yang mereka katakan dalam erti kata lain cakap tak serupa
bikin.
Adakah Anwar cuba mempertahankan dan
melindungi beberapa kerat pemimpin pembangkang yang amat berlainan sekali gaya
hidup mereka lima tahun setelah pembangkang memerintah Pulau Pinang, Selangor
dan Kelantan.
Jika sebelum Pilihan Raya Umum 2008,
kebanyakan pemimpin pembangkang dilihat 'sengket' dan menjalani taraf kehidupan
yang tidak jauh berbeza dengan masyarakat biasa. Bagaimanapun setelah sepenggal
memerintah, ramai daripada anggota Exco umpamanya sudah bertukar gaya hidup
yang lebih mewah.
Kereta yang dipandu tidak lagi hanya Proton
tetapi berjenama asing.
Kalau dahulu hanya tinggal dipangsapuri atau
rumah kos rendah tetapi kini sudah mampu memiliki runah yang mencecah lebih RM1
juta seunit. Malah ada yang tidak cukup sebuah rumah kediaman tetapi mampu
membeli beberapa aset dan hartanah sebagai pelaburan masa depan.
Ada juga yang sudah memiliki premis
perniagaan yang dijalankan oleh kroni-kroni mereka. Mungkin senario 'orang kaya
baru' atau 'nouveau riche' yang kini sudah menjadi budaya baru
pemimpin-pemimpin pembangkang.
Jutawan baru di kalangan pemimpin pembangkang
yang memegang jawatan di dalam pentadbiran kerajaan negeri bukan sahaja menjadi
realiti tetapi juga bahan mulut rakyat.
Mungkin jika anggota Exco di Selangor dan
Kelantan mendedahkan kepada umum jumlah aset dan hartanah yang mereka kumpul
sepanjang memegang jawatan awam, sudah tentu rahsia besar mereka akan turut
menjadi teropongan rakyat.
Seboleh mungkin pembangkang mahu terus
mengaburi mata rakyat dengan sloganan bertonggakkan rakyat berkaitan konsep
keadilkan, ketelusan, kesamarataan dan sebagainya.
Jika tembelang mereka didedahkan dengan
menunjukkan kekayaaan yang telah dikumpul dalam masa yang singkat semasa
memegang kuasa sudah tentu saham politik mereka akan jatuh merudum.
Rakyat tidak akan percaya lagi kepada segala
cakap-cakap kononnya pembangkang pejuang rakyat dan memperjuangkan pentadbiran
yang bersih, telus dan adil.
Pembangkang akan terus berdolak dalih dan
mencari jalan untuk mengelak mengisytiharkan harta mereka kerana telunjuk
mereka lurus mencari kesalahan orang lain tetapi hakikatnya kelingking mereka
berkait sebab mereka sendiri yang melakukan perbuatan yang sama.
No comments:
Post a Comment